Tuesday, January 5, 2010

HAJJ 1430H: Allah answered our prayer (4)

Kami tiba di Muzdalifah sekitar jam 10 malam dan guru agama memaklumkan mabit atau bermalam sejenak sehingga tengah malam di Muzdalifah adalah sehingga jam 11:30 malam. Selepas itu boleh bergerak ke Mina dengan menaiki bas yang akan tiba berperingkat-peringkat.

Muzdalifah, pada tengah malam

Sungguh, malam itu adalah satu pemandangan yang menarik dan tidak mungkin dilupakan kerana berjuta umat jemaah haji berpakaian putih, berhimpun di Muzdalifah cukup sekadar beralaskan tikar dan berbumbungkan langit.

Mengambil sunnah Rasulullah yang tidur pada malam tersebut, kami turut melabuhkan diri untuk tidur selepas kepenatan sepanjang hari di Arafah. Sekejap-sekejap Ummi terjaga dari tidur membetulkan posisi dan menunggu giliran menaiki bas.

Talbiah vs. Takbir Raya

Ustaz Zamri (DJ Ikim.fm) yang bertugas sebagai guru agama Maktab 73, mengingatkan bahawa amalan paling afdal di Muzdalifah adalah meneruskan talbiah. Semasa di dalam bas dari Arafah ke Muzdalifah pun, pemandu bas berbangsa Arab mengajak kami terus bertalbiah.

Malangnya, dengan kekurangan ilmu, ada jemaah dari negara Indonesia, yang berkumpul di hadapan ruang kami di Muzdalifah BERTAKBIR RAYA! Adus! Ajaran apakah ini? Lucu pun ada kerana tak lama selepas jemaah Indonesia bertakbir raya, guru agama atau petugas mereka menegur dengan berkata, “Aku bilang takbir pendek aja, Allahuakbar walillahilhamd. Ya udah. Berhenti-berhenti!” Kami terhibur seketika dengan gelagat mereka.

Bas oh Bas!

Ujian kami di Muzdalifah adalah jumlah bas yang datang mengambil jemaah Maktab 73 terlampau sedikit berbanding jumlah kami yang ramai. Dengan penggunaan system ‘taraddudiah’ (ulang-alik), bas yang sama mengambil jemaah Maktab 73 ke Mina dan berpatah balik ke Muzdalifah untuk mengambil penumpang baru.

Muzdalifah: ketika matahari memunculkan diri

Kami menunggu lagi sehingga masuk waktu Subuh. Di atas tanah lapang itu kami bersolat jemaah dan berzikir menunggu terbitnya matahari. Kami teruskan menunggu dan menanti bas yang tidak kunjung tiba.

Alhamdulillah bas akhirnya sampai satu persatu dan kami menaiki bas sekitar jam 10 pagi. Bermakna 12 jam kami berada di Muzdalifah. Walau bagaimanapun Abi mengucapkan syukur kerana dapat melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w kerana baginda turut berada di Muzdalifah sehingga selesai solat Subuh dan kemudian bergerak ke Mina. Alhamdulillah.

Mencari khemah di Mina

Bas yang kami naiki adalah bas Maktab 60, bermakna pemandu berbangsa Afrika (tak pasti Sudan atau Ethiopia, tapi dia mampu berbahasa Arab) tidak mengetahui secara tepat lokasi khemah Maktab 73. Ketika bas berhenti berhampiran dengan Maktab 70, dengan andaian Maktab 73 berada tidak jauh dari situ, seorang makcik dalam bas yang Ummi naiki menghalang kami semua turun. “Jangan turun, pandai-pandai je dia berhenti suruh kita jalan kat sini. Buatnye jauh nak angkut beg semua, tak ke susah. Semua jangan turun! Suruh dia cari Maktab 73 sampai jumpa!” Setelah pembantu pemandu bas turun sebentar untuk memastikan kedudukan Maktab 73, ternyata telahan makcik tersebut benar kerana dia tidak menemui maktab kami walaupun berada di lorong khemah Maktab 70.

Bumi Mina. Khemah-khemah adalah yang berwarna putih. (Gambar best diambil dari sini)

Bas kami pusing di laluan yang sama sebanyak tiga kali kerana tidak menemui jalan sebenar untuk ke lokasi Maktab 73. Sabar, sabar, sabar. 30 minit hanya di dalam kawasan Mina untuk mencari khemah. Dan umat manusia memenuhi jalanraya dan bagi jemaah negara lain yang tiada penempatan, mereka berkhemah di mana-mana. Di lereng bukit, di tepi jalan.

Khemah F, Tilam nombor 391

Itu la nombor tilam dan khemah Ummi sepanjang berada di Mina. Di Arafah dan juga di Mina, Ummi jadi penjaga pintu khemah kerana kedudukan tilam betul-betul berada di tepi pintu khemah. Jumlah jemaah wanita dalam khemah lebih ramai dan susunan tilam kelihatan lebih padat berbanding di Mina. Sepanjang berada di dalam khemah, Ummi perlu bertudung kerana suami jemaah wanita sekhemah Ummi akan menyelak pintu khemah, menjenguk dan mencari isteri masing-masing.

Suasana dalam khemah yang padat

Sang penjaga pintu dengan Makcik Zaleha dari JB

“Kalsom ada?”

“Hajah Lily ada kat dalam?”

Disebabkan Ummi menjadi ‘penjaga pintu’, Ummi pun akan menjerit memanggil nama isteri yang dipanggil. Kelakar kan?

Lorong-lorong antara khemah di Mina agak mengelirukan. Dan jemaah perlu melihat tanda-tanda huruf pada khemah dan juga pada persimpangan lorong. Kak Sarinah, teman sekhemah Ummi mengambil inisiatif menampal masking tape dan melukis gambar durian sebagai tanda khemah kami.

Tanggal 10 Zulhijjah

Hari itu 10 Zulhijjah, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, kami tidak menyambut Eidul Adha dengan laungan takbir dan solat sunat eid mahupun melihat ibadah korban. Bagi para hujjaj, eid kami adalah selepas Tahallul Awal. Selepas makan tengahari dan menghilangkan penat di khemah, Ummi dan Abi beserta Kak Sarinah menuju ke Jamarat (tempat lontar Jamrah) yang terletak 3 km dari khemah kami. Kami tidak menunggu sehingga waktu malam untuk menyertai kumpulan kami yang dipandu oleh guru agama. Berani sendiri, tanggung le risiko! (Tawakkal ‘alaLLah sebenarnya)

Kami berjalan menelusuri terowong Muaissem (yang terkenal dengan tragedi jemaah mati dipijak akibat kesesakan pada tahun 1987) dan masuk ke bangunan Jamarat. Alhamdulillah, banyak urusan telah dimudahkan dengan pembangunan kompleks 5 tingkat tempat melontar jamrah. Binaan tempat lontaran juga lebih tinggi dan lebar, menjadikan manasik ini lebih selamat dilakukan.

Tempat melontar jamrah (Gambar sumber: Klik sini)

“Bismillah Allahu Akbar!” kami laungkan setiap kali anak batu dilontarkan. Tidak perlu sasarkan anak batu mengena pada dinding, cukup dengan melontar dan pastikan kesemua tujuh anak batu masuk ke dalam ruang yang mengelilingi dinding lontaran.

Selesai lontaran di jamrah Aqabah, Ummi bertahallul dengan memotong sedikit rambut. Allahu Akbar! Gugurlah 10 larangan ihram, berbaki lagi 3 yang akan selesai selepas Tahallul Thani (selepas Tawaf Haji dan Sa’ie Haji).

Botak chin!

Kami pun keluar dari kompleks Jamarat untuk pulang ke khemah. Di tepi-tepi jalan kelihatan ramai jemaah lelaki dibantu rakan mereka membotakkan kepala. Peluang bisnes pun lumayan juga! Jemaah haji Pakistan menawarkan SR10 untuk servis mencukur rambut. Abi perlu pastikan ‘blade’ yang digunakan benar-benar yang baru. Selepas 3 orang ‘pemangkas rambut’ ditanya, akhirnya Abi pun mendapatkan khidmat seorang jemaah Pakistan dengan bayaran SR10. Seram juga melihat kepala Abi dibotakkan kerana terdapat dua tiga bahagian yang luka. ‘Ala kulli hal, kami sudah Tahallul Awal dan Abi boleh menanggalkan kain ihram dan memakai pakaian biasa.

Botak!!

Selesai mabit di Mina (mesti berada di bumi Mina sekurang-kurangnya separuh malam iaitu hingga jam 11:30 malam), kami tempuhi pula pengalaman berharga perjalanan dari Mina ke Mekkah.

No comments: