Sunday, January 3, 2010

HAJJ 1430H: Allah answered our prayer (2)

Mulai dari 17 hingga 25 November, hari-hari kami dipenuhi dengan rutin ke Masjidil Haram bagi setiap waktu kecuali Asar. Cabaran (I would say ujian too) bagi Ummi adalah untuk menahan wudhu’ dalam tempoh yang lama. Abi selalu cakap yang rasa nak ke toilet cuma mainan psikologi je.


Memandangkan jarak Hotel Sevilla Barakah dengan masjid dalam 650 meter, tempoh masa antara waktu Asar dan Maghrib terlampau suntuk untuk pergi dan balik ke masjid. Dan pernah Ummi stay di masjid mulai Asar dan bercadang untuk kekal di dalam masjid sehingga waktu Isya’, tetapi terpaksa juga ke bilik air masjid. MasyaAllah cabarannya adalah beratur untuk masuk ke basement toilet dan terpaksa ‘ditolak’ dan berhimpit-himpit dengan wanita dari negara lain. Akhirnya Abi memutuskan agar solat Asar dilaksanakan di hotel sahaja. Selesai solat Asar barulah bergerak ke masjid.

Hari-hari sebelum Masya’er

Bagi jemaah yang berniat haji Ifrad dan miqat dalam kapal terbang semasa masuk ke Arab Saudi, mereka berkeadaan ihram selama 10 hari. MasyaAllah, hebat sungguh ujian bagi mereka kerana terpaksa menjaga 13 pantang larang ihram dalam tempoh 10 hari. Bagi wanita, Alhamdulillah masih lagi berpakaian biasa, tetapi bagi jemaah lelaki dalam 2 helai kain ihram dan TANPA berseluar dalam. Pernah satu petang ketika Abi berada di ruang lobi hotel, seorang jemaah lelaki tiba-tiba meraung menjerit “Labbaikallah” dan bermacam-macam lagi, mungkin kerana tertekan menanti hari masya’er. Bergegas guru agama dan petugas Tabung Haji Travel datang menenangkan jemaah tersebut.

Taklimat Manasik dan Pergerakan

Setiap jemaah dikelompokkan mengikut nombor penerbangan dan sesi taklimat disampaikan mengikut giliran KT masing-masing. Setiap kali taklimat persediaan menghadapi Masya’er (8 hingga 13 Zulhijjah), Ummi merasa berdebar-debar dan rasa risau yang amat memikirkan sekiranya Haji ini tidak dapat disempurnakan dengan baik. Kerana sabda Rasulullah s.a.w:

“Haji itu Arafah.”

Sekiranya wukuf di Arafah tidak dilakukan, tidak sah lah haji seseorang itu. Maka, menjadi harapan Ummi dan semua bakal haji agar dapat menyempurnakan manasik dengan sebaik-baiknya.

Sejenak sebelum syuruk pada pagi 8 Zulhijjah

Bayangkan ada yang sakit tenat, ada yang meninggal sebelum tiba hari kemuncak pelaksanaan manasik haji tersebut. “Ya Allah, hanya pada Engkau kami bergantung. Berilah kelancaran dalam urusan-urusan kami sepanjang hari masya’er. Kurniakan kami haji yang mabrur, usaha yang disyukuri, dosa yang diampuni, amal yang soleh dan perniagaan yang tidak pernah rugi. Amin ya Rabb!”

Strategi kami adalah untuk tidak menghabiskan energi kami untuk tawaf sunat 4 hari sebelum ke Arafah. Ini sebagai menyediakan tahap kesihatan fizikal yang optimum untuk bergerak banyak pada hari-hari kritikal nanti. Ayah Ummi pun sms, “Make sure badan fit untuk waktu kemuncak ibadah. Boleh buat yang optimum.”

Walaupun berbunyi kelakar, tapi antara do’a yang Ummi panjatkan setiap masa adalah agar diberi keupayaan untuk menahan kencing dan buang air besar sepanjang saat kritikal nanti. Haha..Sangat penting woo! Sebab jemaah wanita lain siap beli diapers besar khas untuk kalau terbabas atau tak tahan buang air waktu beratur panjang ke bilik air!

Hari Tarwiah

8 Zulhijjah, Rabu – Debaran makin terasa. Selesai solat Subuh, seperti biasa kami akan lepak di bumbung masjid sehingga masuk waktu Dhuha. Kelihatan jemaah di masjid mulai berkurangan dan ruang tawaf Nampak tidak sepadat biasa. Ini kerana jemaah dari Negara lain sudah mula bergerak ke Arafah pada malam 7 Zulhijjah. Saat itu kelihatan awan agak mendung, lain dari biasa. Apakah petandaMu ini ya Allah? Sungguh kami tidak mengetahui.

Kelihatan ruang tawaf tidak sepadat biasa pada pagi 8 Zulhijjah

Pulang ke hotel, kami diminta untuk menunggu di dalam bilik hotel masing-masing sementara menunggu giliran untuk menaiki bas ke Arafah. Kami tidak dibenarkan menunggu di lobi hotel bagi mengelakkan kesesakan. Tiba-tiba selepas waktu Zohr, hujan turun mencurah-curah. Makin berdebar Ummi dibuatnya. Teman sebilik menyebut ini adalah hujan rahmat dari Allah.

Kami mengikuti perkembangan semasa pergerakan ke Arafah secara langsung dari siaran TV tempatan. Pihak polis menutup laluan bas untuk masuk ke Arafah sementara waktu kerana hujan lebat telah menyebabkan paras air naik di Arafah. Bas yang membawa jemaah giliran awal dari Hotel Sevilla Barakah telah terkandas selama 1 jam lebih. Cobaan!

Kami menunggu giliran dengan sabar di bilik, dari Zohr ke Asar ke Maghrib hinggalah Isya’, akhirnya sampai giliran kami. Selepas menaiki bas dan cukup bilangan jemaah di dalam bas, kami bergerak ke Arafah. Jalanraya penuh sesak dengan pelbagai jenis kenderaan menuju ke Arafah. Ditambah dengan hiruk-pikuk bunyi hon bas dan cara pemanduan yang gila-gila orang Arab! (tidak semua pemandu adalah orang Arab tempatan, ada yang dari Yaman, Eritria dan lain-lain). Bermacam gaya jemaah Negara lain menaiki kenderaan, ada yang memenuhi bas hingga ke atas bumbung, ada yang berdiri memenuhi lori dan macam-macam lagi. Subhanallah. Benarlah firman-Mu:

“Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan dating kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengendarai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh.”

(Al-Hajj:27)

Kami datang menujuMu ya Allah!

Mereka inilah yang disebut ‘min kulli fajjin ‘amiq’ (datang dari segenap penjuru yang jauh)! Dan tahun ini, Ummi dan Abi termasuk dalam golongan ini. Alhamdulillah!

Giliran naik bas dah sampai..beratur2 jangan berebut2!

Malam di Arafah

Dek kerana penat, Ummi tertidur dalam bas. Tiba di depan Maktab 73 kawasan khemah di Arafah, kesejukan tengah malam mulai terasa. Suasana yang gelap dan keadaan baru bangun dari tidur menyebabkan Ummi dalam keadaan terpinga-pinga seketika untuk mencari khemah J (telah ditetapkan di hotel lagi). Khemah yang boleh memuatkan lebih kurang 30 orang jemaah itu dihamparkan permaidani di lantainya, mengingatkan Ummi suasana mukhayyam yang sering Ummi ikuti dulu (Perkasa dan lain-lain). Detik hati Ummi,”Well, this is fun!” Keadaan dalam khemah sangat gelap dan Ummi orang kedua yang masuk ke dalam khemah. Tilam yang siap bernombor telah disusun di kiri dan kanan khemah. Lantas, Ummi segera mencari lampu picit untuk mencari tilam Ummi dan juga untuk rakan sekhemah yang lain.

Malam itu kami tidur dalam suasana berbeza, menanti matahari pagi 9 Zulhijjah…tanda masuklah kami ke masya’iril haram untuk kami hebatkan lagi lafaz memuji dan membesarkan Allah.

No comments: