Thursday, October 16, 2008

Mama madrasah pertamaku


Dear readers, 

This is an exclusive writing about my mother (unedited). Which will be published in a book .  


IBU MADRASAH PERTAMAKU

Aku lahir sebagai anak sulung buat mama dan ayah ketika mereka masih belajar di United Kingdom. Ayah lebih banyak bercerita tentang memori-memori kecilku di sana, berbanding Mama. Pernah satu petang aku duduk-duduk bersembang dengan Ayah, beliau menyebut secara tiba-tiba, "Kakak kena hargai pengorbanan mama. Dia berhenti belajar lepas A-Level lepas mengandungkan kakak. Kalau dah lahir nanti siapa nak jaga kat UK tu." Terlihat mata Ayah berkaca. Aku diam sahaja tetapi kata-kata itu tidak pernah kulupa sampai bila-bila.

Ya. Memang Mama melahirkan kami tujuh beradik dengan jarak enam orang yang pertama selang dua tahun setiap seorang. Cuma adik bongsu kami lahir ketika saya sudah pun mencecah usia 19 tahun. Mama tidak bekerja di luar tetapi setia bekerja sepenuh masa di rumah membesarkan kami.

Ketika usia di sekolah rendah lagi, saya sebagai kakak dilatih Mama untuk membantu menguruskan adik-adik yang masih kecil.

Mama Contoh Wanita Berhijab Buatku

Ketika Mama tiba di UK, Mama belum lagi menutup rambutnya. Gambar hitam putih dalam pasport Mama ketika terbang ke UK untuk sambung belajar pun masih lagi gambar hitam putih si gadis remaja bertocang kiri kanan.

Alhamdulillah dengan kesedaran dan pendedahan oleh pelajar-pelajar berbangsa Arab di UK, Mama termasuk dalam golongan yang mendapat hidayah untuk berhijab. Tudung awal Mama corak petak-petak yang kemudiannya kami jadikan alas meja di rumah. Lucu.

Berkahwin dengan Ayah lalu Mama menjadi aktivis pelajar gerakan Islam lewat 70-an saat Revolusi Iran meletus. Mama dan ramai lagi rakan-rakan muslimah lain memilih untuk mengenakan niqab atau purdah (tudung beserta kain penutup hidung dan mulut). Seingat saya, Mama pakai purdah sehingga akhir 80-an.

Saya tidak pernah lihat wanita lain sebagai contoh ketika itu. Mungkin semasa kecil, kami tidak mempunyai televisyen di rumah untuk saya terpesona dan kagum dengan wanita berfesyen ketika itu. Satu hari saya pernah berkata pada Mama, "Bila besar nanti kakak nak pakai tudung macam Mama." Seawal umur 6 tahun Mama mendidik saya memakai tudung. Masih segar di ingatan saya perjalanan kami ke Australia selama tiga bulan mengikut Ayah, kebanyakan foto saya adalah bertudung. Alah bisa, tegal biasa.

"Mama kita jahitkan baju cantum-cantum untuk kita"

Satu kemahiran Mama adalah menjahit. Berbekalkan mesin jahit jenama Singer hadiah Ayah, Mama mampu menjahit apa sahaja. Kain-kain perca dijadikan selimut. Lebihan kain dari baju-baju orang dewasa Mama cantumkan menjadi gaun untuk saya. Saya sangat bangga dengan baju jahitan Mama. Semua pakaian kami adik-beradik hasil kreativiti Mama. Hingga seluar dalam pun dijahitnya. Kami bersyukur seadanya.

Berbekalkan kemahiran menjahit ini, saya masih ingat Mama dan rakan-rakan menjalankan projek membuat anak patung Muslimah. Mama jahit cantuman kain untuk potongan kaki, tangan, badan dan kepala anak patung tersebut, dan kerja saya dan adik-adik menyumbat kekabu di luar rumah.

Potongan bahagian badan anak patung tersebut dicantum dan baju serta tudung muslimah dikenakan pada anak patung tersebut. Seingat saya, anak patung yang dijual dengan harga RM12 seunit ini merupakan satu-satunya alternatif permainan anak perempuan selain Barbie doll.

Ketika saya bermain dengan anak patung buatan sendiri itu, sebenarnya secara tidak langsung Mama menanamkan nilai dan konsep tentang aurat Muslimah pada kami.

Meningkat Remaja

Usia saya meningkat remaja dan Ayah mulai sibuk dengan tanggungjawab memimpin organisasi kemasyarakatannya, JIM (Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia). Yang pasti, Mama sentiasa di sisi Ayah menemani. Maklumlah ketika itu, saya dan dua adik lelaki saya sudah boleh berdikari, tinggal saja di rumah jika Mama keluar mengikut Ayah untuk sebarang aktiviti menyantuni masyarakat.

Saya sudah boleh memasak dan mengurus pakaian dengan adik-adik. Mama berikan kebebasan untuk saya uruskan. Walaupun dengan kenakalan remaja saya, selalu juga kena marah kerana hard core peminat drama Cina Hong Kong jam enam petang setiap hari di televisyen, saya tetap perlu menguruskan tugasan harian rumah. Saya menyusun jadual giliran sesama adik-beradik setiap hari bagi meringankan beban Mama.

Aktivis Masyarakat

Saya selalu rasa Mama saya muda walaupun setiap tahun umurnya bertambah. Kenapa? Sebab Mama tidak boleh duduk diam walaupun profesinya surirumahtangga. Selesai urusan rumah, Mama akan ke Pejabat Presiden JIM tidak jauh di belakang rumah kami untuk kerja-kerja mengedit Buletin Nasional untuk edaran ahli-ahli. Adakalanya kami semua dibawa ke pejabat Ayah untuk melipat buletin-buletin tersebut dan ada masanya kerja-kerja tersebut dibawa pulang untuk kami siapkan!

JIM selalu mengadakan aktiviti luaran seperti sukan, ekspedisi mendaki gunung, masuk gua dan perkhemahan. Mama tidak pernah ketinggalan dan kami semua di'angkut' bersama. Jangan tak percaya..Mama saya sudah menawan Gunung Kinabalu! Itu satu lagi impian saya.

Sampai sekarang sudah bercucu tujuh orang pun, Mama masih aktif malah bersenamrobik dalam bulan Ramadhan.

Mama - Menteri Kesihatan Rumah Kami

Saya memang penggemar makanan manis. Kata orang puteh, 'sweet tooth/teeth'. Mama pula sebaliknya. Mama sentiasa prihatin tentang pemakanan yang sihat. Masakan Mama jarang sekali menggunakan santan. Bagi penggunaan gula dan penambah perisa dalam makanan, Mama akan selalu bising pada kami. 'O'o..Menteri Kesihatan dah datang," usik kami adik-beradik.

Sejak kecil, kami semua dibawa berjumpa doktor gigi untuk pemeriksaan gigi secara berkala. Ubat cacing dimakan dua kali setahun. Dek 'Menteri Kesihatan' inilah kami sekeluarga sentiasa sihat. Alhamdulillah.

Fasa Kehidupan di Sri Ukay

Fasa hidup kami sekeluarga di Taman Sri Ukay, Ampang mulai akhir tahun 1995 mencatatkan perubahan. Saya sudah tamat sekolah menengah dan genap umur 17 tahun, Ayah hantar saya belajar memandu kereta. Sejurus selepas dapat lesen memandu, saya 'terbang' ke sana-sini. Dan yang paling penting Ayah amanahkan tugas besar untuk menghantar dan mengambil adik-adik pergi dan pulang dari sekolah setiap hari.

Saya tidak menyambung pengajian di IPTA tetapi di kolej swasta di tengah kota. Sebab itu saya banyak masa di rumah untuk menguruskan hal adik-adik saya.

Pada suatu malam, selesai sahaja makan malam, Ayah memulakan bicara memaklumkan Mama mengandung lagi. Adik bongsu saya ketika itu sudah berumur 8 tahun. Teruja betul kami semua untuk menyambut ahli keluarga baru. Mama sudah pun berumur 39 tahun saat itu.

Kandungan kali ini lebih payah dan lebih banyak komplikasinya. Saat usia kandungan Mama enam bulan, doktor mengesahkan uri bayi berada di bahagian bawah menyebabkan berlaku pendarahan. Bagi mengelakkan sebarang risiko, doktor menasihatkan Mama agar berehat di hospital.

Saya lah pengganti Mama saat itu menguruskan adik-adik dan juga rumah. Tidak lama selepas Mama direhatkan, keluarga kami diuji lagi. Ayah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terlibat dalam gerakan Reformasi (Ayah sebagai Presiden JIM ketika itu turut sama membantah pemecatan DS Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri). Selama 15 hari saya menjadi kepala keluarga buat sementara kerana Ayah disimpan pihak polis entah di mana dan Mama pula direhatkan doktor di hospital. Pengalaman ini saya anggap sebagai ujian penilaian selepas melalui madrasah Mama dan Ayah selama ini.

Saya menjadi matang dengan pengalaman ini. Berinteraksi dengan pihak polis, tetamu, saudara dan tidak kurang guru sekolah adik-adik saya.

Fight for Your Right !

Ayah dibebaskan dari tahanan polis selepas 15 hari ditahan dalam pengalaman tahanan ISA tahun 1998 itu. Namun, semangat Ayah tidak pernah luntur. Tidak goyah malah makin teguh. Teguh kerana Mama yang cekal di sisi Ayah. Tidak pernah dia merintih, mengeluh, menyesal Ayah memilih jalan perjuangan itu. Saat kami menangis, Mama tidak pernah menitiskan air mata.

Tahun 2001 kami diuji lagi. Kali ini Ayah ditahan kedua kalinya di bawah ISA malah dihantar ke Kem Tahanan Kamunting di Taiping. Fuh! DUA tahun. Dan selama DUA tahun juga Mama tanpa gagal pergi melawat Ayah di kem setiap hujung minggu atau setiap giliran yang dibenarkan oleh pihak kem.

Mama sentiasa tegas mengingatkan saya dan adik-adik untuk berani bangkit memperjuangkan hak kebebasan Ayah. Pengalaman ini mendidik kami adik-beradik menjadi lebih peka dan sensitif dengan hak-hak kami (dalam batas syara'). Hak sebagai pengguna, sebagai mahasiswa, sebagai warganegara.

Berbekalkan ketegasan dan kecekalan Mama, kami terus berjuang untuk pembebasan Ayah. Turun naik mahkamah, balai polis, SUHAKAM. Serah memorandum, demonstrasi, berjumpa media dan macam-macam lagi.

FIGHT FOR YOUR RIGHT! Ajar Mama. Ajar, didik, leter dan bermacam cara lagi Mama ungkapkan nilai-nilai baik buat saya dan adik-adik.

Terima kasih Mama kerana tiada sekolah sebelum Mama yang menanamkan nilai-nilai ini dalam diri saya. Engkaulah Madrasah pertamaku!

 

2 comments:

along rufaidah said...

sebak baca ni kak anfal~

x sabar nk tunggu buku yg ni..dgr ceritanya dh byk dh cerpen yg dpt dikumpulkan.

Najah Farahin said...

rupanya sahabatku ini punya bakat menulis.
mana tumpahnya kuah kalo tak ke nasi.
pandai menulis mcm pak abu laaa

minat citer hong kong rupanya. patutle dpt org muka cam ammar. hehe.lawak jer
-najah-