Monday, January 4, 2010

HAJJ 1430H: Allah answered our prayer (3)

Dalam khemah di Arafah

Waktu Subuh di Arafah masuk sekitar jam 5:15 pagi. Seawal 3:30 pagi Ummi telah terjaga dari tidur dan segera ke bilik air berdekatan untuk bersuci dan berwudhu’. Tak boleh lambat nanti panjang beratur plus tak tahan nak gi toilet! Qiamullail dan solat Subuh dilakukan di dalam khemah masing-masing memandangkan ruang solat dalam khemah ‘Surau’ Maktab 73 agak terhad. Selesai solat dan zikir, sejenak kemudian tatkala matahari mula memunculkan diri, barulah kami dapat melihat suasana sebenar keadaan di sekeliling kawasan khemah.

Terima seadanya kan ok?!

Dan perut pun mula berbunyi. Namun dalam keadaan jemaah yang ramai beratur mengambil makanan, dan makanan yang kehabisan lewat sedikit diisi semula, SABAR sekali lagi menjadi penguat jiwa. Ada nasi lemak, sambal habis, sambal sampai nasi pula habis. Isbirii! Kalau pegi mukhayyam pun biasa je makan ala kadar, kan? Ummi set minda untuk makan atau terima apa sahaja seadanya.

My breakfast >_<

Masa yang panjang antara Subuh dan Zohr, Ummi gunakan untuk berehat, tilawah dan membaca seerah Nabi. Energi perlu disimpan untuk waktu afdal selepas Zohr nanti.

Sejam sebelum Zohr, Ummi dan Kak Sarinah, teman sekhemah, bergegas ke kawasan menunggu bas di ruang depan khemah Maktab 73. Ini sahaja ruang kosong terhampir dengan ‘Surau’ khemah Maktab 73, untuk kami solat berjamaah dan mendengar Khutbah Arafah. Sistem siaraya maktab menghadapi masalah apabila bunyi dari mikrofon tidak dapat didengari dari tapak khemah yang agak jauh. Sebab itulah kami mencari peluang untuk mendapat posisi terdekat untuk mendengar khutbah.

Khutbah Arafah – ‘bestest’ ever!

Matahari mula tegak di atas kepala, dan kepanasan mulai terasa. Kami duduk di atas tikar yang dibekalkan dan memegang payung hadiah pihak penaja sambil mendengar khutbah yang dibacakan oleh Ustaz Mohd Noor, guru agama yang bertugas hari itu.

Pada saat itu, sungguh hati-hati kami tunduk merendah diri dan menginsafi kelemahan diri pada hari yang digambarkan seperti Yaumul Mahsyar, lalu mengalirlah air mata hangat di pipi memohon keampunan Allah pada hari terbaik, saat terbaik dan tempat terbaik iaitu pada waktu Zohr 9 Zulhijjah di Arafah. Ummi dan Kak Sarinah yang duduk bersebelahan menangis sepanjang khutbah. Turut kedengaran tangisan para jemaah wanita lain yang bersebelahan. Kami semua, tanpa mengira pangkat dan darjat, merasa lemah di hadapan Allah s.w.t. Semua berharap keredhaan Allah untuk ke syurga dan pelepasan dari azab kubur dan juga neraka dari tuhan yang esa, Allah rabbus samawati wal ard!

Menadah tangan mengadap langitMu di Arafah

Selesai solat, kami bersalaman dalam penuh kesyahduan. Kemudian kami makan tengahari bersama-sama di dalam khemah. Alhamdulillah lauk pun sedap! Setelah cukup rehat sekadarnya, Abi mengajak Ummi untuk mencari ‘port’ di luar pagar khemah Maktab 73 untuk berdoa. Ronda punya ronda, kami tertarik dengan kawasan khemah jemaah negara China. Berbekalkan muka Abi yang berdarah campuran Melayu-Cina, kami pun dengan selamba masuk dan bentang tikar di satu sudut ruang lapang di dalam kawasan jemaah China.

Kain rentang di luar pagar khemah jemaah China

Tangan ditadah memohon doa dengan penuh rasa insaf dan rendah diri. Air mata mengalir tak putus mengharapkan doa-doa yang dipanjatkan dimakbulkan Allah. Kami beroda dan terus berdoa sehingga waktu Asar. “Rabbana wa taqabbal du’a.”

Cari port best kat kawasan khemah China dan bentang tikar!

Bergambar kenangan dengan jemaah negara China

Jemaah negara lain memanjat bukit

Kedudukan khemah jemaah Asia jauh dari Masjid Namirah yang menjadi tumpuan jemaah untuk solat pada hari wuquf di Arafah. Oleh itu, kami tidak berpeluang melihat suasana jemaah yang memenuhi Jabal Rahmah kerana kedudukan khemah kami berbeza. Walau bagaimanapun, bukit-bukit kecil berhampiran kawasan khemah kami turut dipanjat dan dipenuhi oleh jemaah negara lain berpakaian serba putih. Satu pemandangan yang indah!

Zikir terus kami lafazkan dan rasa sayu menggamit jiwa apabila warna langit mulai berubah menjadi kemerah-merahan tanda sebentar lagi tamatlah 9 Zulhijjah. Dan berakhirlah peluang keemasan waktu mustajab doa di Arafah. Ummi menangis lagi…”Allah dengarkah doaku?”

Menunggu bas untuk ke Muzdalifah

Malam itu kami bersiap-sedia untuk ke Muzdalifah pula. Sebakul sabar lagi diperlukan untuk menanti giliran menaiki bas ke Muzdalifah. “Dahulukan orang tua,” nasihat Abi.

Dan malam di Muzdalifah nanti, pasti kami tak lupa!

No comments: