Wednesday, December 30, 2009

HAJJ 1430H: Allah answered our prayer (1)

Alhamdulillah wa syukrulillah ‘ala ni’amihil kiram. Subhanallah wa bihamdih, subhanallahil ‘azim. Syukur pada Allah rabbul jalil yang telah memperkenankan doa kami untuk melaksanakan ibadah haji pada usia 30 tahun yang jatuhnya pada musim haji tahun 1430H. Bermula dengan pandangan pertama pada kaabah ketika ibadah Umrah pada Jun 2008, hati kami merasa rindu yang amat sangat untuk bertandang lagi ke Baitullah, dengan harapan menjadi tetamu Allah dalam rangka menyempurnakan rukun Islam ke-5 iaitu haji. Alhamdulillah HE answered our prayer!

Labbaikallahumma labbaik!!


KT83, 16 November 2009

Cabaran kami bermula dengan tarikh penerbangan berubah sebanyak dua kali dari 22 Oktober ke 10 November dan yang paling final, 15 November. Selepas dipanggil masuk ke dewan taklimat di Kompleks Kelana Jaya (selepas salam dan peluk perpisahan dengan ahli keluarga tercinta), kami dimaklumkan penerbangan kami (KT83) delay dari jam 4 pagi 16 November ke jam 7 pagi. “Cobaan…,”terdengar gurau-senda para jemaah bagi melegakan keresahan di jiwa. Antara tidur dan tidak, kami menunggu di terminal KLIA sehingga masuk waktu subuh, tetap tiada panggilan untuk bersedia masuk ke pesawat. Rupanya flight delay lagi! Lebih kelakar lagi, flight KT84 berlepas sejam lebih awal berbanding kami. Namun, Alhamdulillah, flight kami berlepas juga pada jam 10pagi. Dan kami pun tidur lena menghilangkan lelah semalaman tidur-tidur ayam.

Mendengar taklimat dalam dewan di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya


Sebakul Sabar

Tiba di lapangan terbang Jeddah, kami melalui bermacam prosedur (health screening, imigresen, bag screening, dapatkan nombor bas) dan satu beg ‘kesabaran’ diperlukan lagi di sini. Ujian itsar (mengutamakan sahabat) juga bermula di sini. Sementara menanti bas untuk ke Mekkah tiba, kami berehat sebentar di ruangan khas di luar lapangan terbang. Setiap jemaah telah ditetapkan nombor bas dan bagasi masing-masing akan dibawa bersama ke atas bumbung bas. Pasport kami akan diserahkan pada pihak muassasah (pengurusan haji Arab Saudi) mulai dari kami naik bas di Jeddah dan akan diserahkan kembali hanya apabila kami akan terbang pulang ke tanah air.

Beratur untuk cop pasport di bhgn imigresen lapangan terbang Jeddah

Bas-bas untuk membawa jemaah ke Mekkah

Perjalanan ke Mekkah mengambil masa 1 jam lebih dengan melalui beberapa perhentian pemeriksaan bas. Setibanya di depan Hotel Sevilla Barakah, kami disambut mesra oleh petugas Tabung Haji Travel dan petugas hotel (bangsa Arab) dengan sedikit minuman air zam-zam, hadiah beg uncang berisi seutas tasbih.


Umrah selesaikan dulu

Memandangkan kami berniat Haji Tamattu’, kami perlu mengerjakan umrah terlebih dahulu sementara menanti masa untuk masya’er bermula pada 8 Zulhijjah. Abi tanpa lelah meminta Ummi berehat sebentar di bilik hotel (1129, Tingkat 11) dan segera bersiap untuk ke Masjidil Haram. Aduh! Penat belum habis lagi la bang. Kami pun terus ke masjid yang jaraknya 650 meter dari hotel untuk menunaikan solat jamak maghrib isya’ dan seterusnya menyelesaikan tawaf dan saie umrah kami. Selepas pusingan kedua saie (marwah-Safa), Ummi betul-betul keletihan dan duduk melunjurkan kaki di tepi laluan. Agak ringan terasa pada kaki, ibadah sa’ie diteruskan semula sehingga selesai. Setelah tahallul, gugurlah segala larangan ihram kami. Alhamdulillah.

Pemandangan kawasan tawaf setelah kami selesai Tawaf Umrah

Mas'a @ Laluan sa'ie dari Safa ke Marwah